Sahabat Ilmu

Ahad, 28 Februari 2010

SEMOGA ROHMU DICUCURI RAHMAT

Allahyarham Pak Nen

13 Rabi'ulawal 1431H (27 Feb 2010) merupakan solat Maghrib terakhir berjamaah di Surau Al-Ikhwan Kembojasari Bandar Sungai Buaya bagi Allahyarham Pak Nen Ariffin (75 tahun). Arwah pulang ke Rahmatullah sekitar pukul 8.00 malam.
Allahyarham merupakan seorang yang rajin dan istiqamah belajar (menuntut ilmu)..Beliau diantara murid ana yang paling tua di surau al-Ikhwan. Setiap minggu beliau hadir dalam kuliah hadis yang ana sampaikan di al-Ikhwan selepas maghrib setiap hari Isnin malam Selasa..
Allahyarham merupakan seorang sahabat(atuk/paklang) yang peramah, ceria dan dikalangan sahabat terbaik yang ana kenal ..Semoga berjumpa di alam sana....
Ana doakan agar Allahyarham di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan memperolehi Syurga Allah swt sebagaimana janji Baginda Rasulullah s.a.w kepada golongan yang sentiasa menuntut ilmu..
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa yang berusaha untuk menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkannya jalan menuju ke syurga dan para malaikat mengembangkan sayapnya menaungi orang yang menuntut ilmu kerana suka akan mereka. Sesungguhnya orang yang alim juga akan dipohonkan keampunan oleh makhluk yang berada di langit dan di bumi sehinggakan ikan di air, dan kelebihan seorang yang berilmu dengan seorang 'abid sama seperti bulan purnama berbanding dengan cakrawala-cakrawala yang lain. Sesungguhnya 'ulamak itu pewaris para Nabi dan sesungguhnya para Nabi tidak sedikit pun meninggalkan harta walau satu dinar atau satu dirham, sesungguhnya mereka hanyalah mewariskan ilmu, maka sesiapa yang mendapatkan ilmu bererti ia telah memperolehi bahagiannya yang besar."(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Ucapan takziah buat seluruh keluarga arwah..Semoga bersabar atas musibah yang telah ditaqdirkan.
Semoga arwah tenang di sana.. Semoga rohmu dicucuri rahmat...Al-Fatihah...
USTAZ MUHAMAD NAIM HASHIM
13 RABIUL AWWAL 1431 H/27 FEB 2010
-----------------------------------------------
Warga emas mati ditikam (UTUSAN MALAYSIA)

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Seorang warga emas ditemui mati dengan kesan tikaman, dipercayai selepas disamun di sebuah rumah di Bandar Baru Sungai Buaya, Hulu Selangor dekat sini malam ini.

Mangsa, Nen Ariffin, 75, dikatakan baru pulang ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib bersama isterinya di sebuah masjid berhampiran.

Dalam kejadian pukul 8.10 malam itu, mangsa kemudian didatangi seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 40-an.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, pasangan itu kemudian disamun sebelum mangsa ditikam di perut dengan sebilah pisau 'Rambo'.
''Isteri mangsa yang berusia lingkungan 70-an tidak diapa-apakan. Pasangan itu kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna perak," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurut Bakhtiar, seorang jiran mangsa yang ternampak kejadian itu segera menghantar mangsa ke sebuah klinik di Bukit Sentosa untuk menerima rawatan.

''Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di klinik tersebut,'' katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh arwah Pak Lang Nen. Pak Lang Nen sebenarnya jiran paling rapat dengan keluarga saya ( arwah Mat Jaih Awang) semasa kami belum berpindah ke BB SG BUAYA. Hubungan kami sekeluarga dgn keluarga arwah PL Nen dah kira macam adik-beradik. Walaupun masing2 duduk berjauhan selepas berpindah ke BBSB, hubungan kami tetap rapat. Pemergian arwah ke rahmatullah merupakan satu kehilangan yang sukar dicari ganti. Keramahan & senyuman ikhlas PL Nen tatkala bertemu saya tak kira dimana2pun akan sentiasa dlam ingatan...Semoga Allah akan memberi pembalasan yang setimpal keatas manusia KEJAM yang telah meragut nyawa seorang insan bernama PAK LANG NEN...